PDRM ambil tindakan peningkatan ketara kes buli di sekolah

PDRM ambil tindakan peningkatan ketara kes buli di sekolah

MOHD. Khalid Ismail berucap ketika melancarkan Kempen Anti Buli di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil peduli kes buli di institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang meningkat secara ketara dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan rekod Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), KPM, sebanyak 7,681 kes dilaporkan tahun lalu meningkat berbanding 6,528 kes pada tahun 2023 dan 3,883 kes pada 2022.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, berdasarkan statistik PRM pula, sejumlah 129 kes buli dilaporkan sejak Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 dikuatkuasakan.

“PDRM juga cakna akan peningkatan kes buli di bawah kendalian KPM dalam tempoh tiga tahun sejak 2022, dengan lebih 70 peratus daripadanya dilaporkan berlaku di sekolah menengah,” katanya ketika berucap melancarkan Program Kempen Anti Buli di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, PDRM menyokong semua usaha kerajaan untuk mencegah dan membanteras kegiatan buli khususnya di sekolah-sekolah bagi memastikan institusi pendidikan di negara ini kekal selamat dan bebas daripada salah laku pelajar.

“Mangsa buli akan mengalami kesan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku bagi tempoh masa yang agak panjang. Selain kecederaan, mangsa mengalami trauma sehingga boleh menjejaskan prestasi akademik,” katanya.

Beliau berkata, mangsa buli seharusnya tidak takut bersuara dan perlu ke hadapan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Kami menggalakkan murid untuk melaporkan insiden buli melalui saluran rasmi seperti Volunteer Smartphone Patrol (VSP). Jangan takut, kerana PDRM sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan dan perlindungan.

“Ibu bapa juga perlu sentiasa peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak. Jika ada tanda-tanda mencurigakan, segera hubungi pihak sekolah atau PDRM malah guru-guru pula disaran mencipta suasana kelas yang selamat dan kondusif,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khalid berkata, kempen antibuli dilancarkan bukan sahaja untuk memastikan hubungan baik antara PDRM dan KPM terjalin malah memastikan pihak sekolah dan ibu bapa berada dalam sinergi yang sama iaitu memastikan keselamatan anak-anak terjamin.

“Pihak PDRM menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah di seluruh negara dengan tujuan untuk memastikan segala perkara yang berlaku di peringkat sekolah dan asrama dapat disalurkan kepada pihak polis.

“Ini membolehkan tindakan awal, pantas dan tuntas diambil bagi menjamin keselamatan pelajar di sekolah,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×