KUALA LUMPUR: Dayang Nurfaizah, 43, menolak andaian segelintir pihak yang mengaitkan perselisihan faham sebagai punca penyanyi itu menukar pengurusnya.
Malah, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu menjelaskan keputusan tersebut dicapai atas kesepakatan bersama.
“Pertukaran ini tiada kena mengena dengan sebarang isu. Memang berlaku perbezaan pandangan antara kami, tapi tidak timbul konflik malah keputusan (menukar pengurus) ini dicapai dalam keadaan baik.
“Kami sudah lama bekerjasama. Sekarang, masing-masing hendak mencapai matlamat sendiri. Jadi buat masa ini saya dalam fasa peralihan kepada pengurusan baharu.
“Saya doakan dan harapkan dia (bekas pengurus) dapat apa yang dia mahukan. Saya juga harap saya dapat apa yang saya mahukan, insya-Allah,” katanya yang ditemui di Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Kerjaya seni penyanyi bersuara emas ini sejak 15 tahun lalu diuruskan pengurus yang dikenali sebagai Sherina.
Namun sejak Februari lepas Dayang sudah berbincang dengan Sherina untuk melantik pengurus baharu. Kata Dayang, dia terpaksa mengambil masa yang lama sebelum membuat keputusan.
“Karier saya semakin berkembang, saya kena teroka perkara baharu. Tidak boleh berada di takuk yang lama.
“Ibaratnya, saya hanya mahu bertukar angin, mungkin ke arah cara pengurusan yang sedikit berlainan berbanding sebelum ini.” kongsinya lagi.
Disoal mengenai pelantikan pengurus baharu, penyanyi yang namanya meledak menerusi lagu Selagi Masih Ada Cinta ini memaklumkan sudah menemui pengganti pengurus lama.
“Individu tersebut masih dalam tempoh percubaan, kita tengok prestasinya dalam beberapa bulan depan. Dia mungkin bakal dilantik sebagai pengurus saya.
“Kami juga telah berbincang dan dia ada bentangkan perancangan untuk karier saya. Saya nampak hala tujunya, memang nampak meyakinkan. Cuma saya nak tengok sama ada perancangan itu selari dengan tindakan.
“Jadi saya beri tempoh percubaan. Saya harap peminat mendoakan agar saya diberi kekuatan untuk meneruskan karier saya, Insya-Allah,” kongsinya.- UTUSAN