PETALING JAYA: Membalas kenyataan daripada pihak Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), syarikat Millionaire Films Production (MFP) menjelaskan tiada penjelasan yang perlu dibuat oleh pihaknya.
Menurut penerbit, Amai Kamarudin, hasrat mereka untuk memfailkan saman kepada pengarah filem Misteri Fraser 1910, Shuhaimi Zulkefli sudah diambil maklum oleh pihak FDAM.
“Saya sendiri pada 26 Mac telah menghubungi Datuk Afdlin Shauki untuk menyatakan hasrat produksi untuk memfailkan satu saman fitnah kepada Shuhaimi Zulkefli. Datuk sendiri ambil maklum tentang perkara ini di dalam Whatsapp.
“Shuhaimi Zulkefli juga telah menerima saman dan surat tuntutan tersebut pada 11 Mei beserta tarikh kehadiran yang perlu dimasukkan ke mahkamah. Ini menunjukkan Shuhaimi tahu satu tindakan mahkamah sedang dijalankan ke atas beliau.
“Oleh itu, tiada keperluan untuk kami membuat penjelasan kerana individu yang digugurkan daripada produksi yang sudah sedia maklum tentang implikasi ke atas tindakan yang dilakukannya selain ingin menjaga kerahsiaan produksi,” katanya.
Dalam pada itu, MFP berharap agar masalah itu dapat diselesaikan mengikut saluran yang betul dan bukan di media sosial.
“Pihak produksi telah bertindak mengikut undang-undang yang betul dan sah mengikut tatacara yang betul.
“Ia adalah hak produksi untuk memfailkan saman dan menuntut ganti rugi apabila hak produksi dilanggar oleh kru atau pengarah.
“Diminta pihak defendan untuk melantik peguam dan hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan isu berbangkit melalui saluran yang betul iaitu di mahkamah bukan di media sosial,” katanya.
Sementara itu, MFP juga berharap kenyataan ini menjelaskan isu pengguguran nama pengarah itu dan melarang mana-mana pihak yang hendak mengaitkan kes itu dengan mana-mana politik.
“Kami berharap dengan penjelasan secara terbuka ini semua pihak jelas dengan isu pengguguran nama pengarah filem ini dan dapat teruskan kehidupan seperti biasa.
“Mohon jangan politikkan filem ini. Kami di sini untuk berkarya bukan untuk berpolitik,” jelasnya.
Tambah MFP, pihaknya menyerahkan segala keputusan kepada hakim mahkamah dan meminta pihak FDAM tidak campur tangan serta menghormati tindakan mahkamah yang sedang dijalankan ke atas Shuhaimi.
Terdahulu, syarikat produksi itu telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM1 juta terhadap pengarah, Shuhaimi Zulkefli akibat kenyataan berunsur fitnah terhadap produksi tersebut melalui laman sosialnya.-UTUSAN