Teruja dapat naik bot tempur laju TLDM

Teruja dapat naik bot tempur laju TLDM

ORANG awam diberi peluang menaiki 'Bot Tempur Laju' (FCB) 1102 dan 1131 yang digunakan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjalankan operasi pada Hari Terbuka Armada (HTA) 2025 di Markas Wilayah Laut 1, Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHEIKh AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Peluang merasai sendiri pengalaman menaiki Bot Tempur Laju (FCB) 1102 dan 1131 yang digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antara tarikan Hari Terbuka Armada (HTA) 2025 di Markas Wilayah Laut 1, Tanjung Gelang di sini, hari ini.

Program dua hari itu bersempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-91 yang diraikan secara besar-besaran dengan pelbagai aktiviti menarik buat seluruh lapisan masyarakat.

 Majlis perasmian HTA disempurnakan oleh Pemangku Panglima Armada Barat, Laksamana Muda Datuk  Baharudin Wan Md. Nor dengan gimik demonstrasi aksi sebenar Tim Menggeledah TLDM memintas serta menahan bot musuh di perairan.

 Demonstrasi itu bukan sahaja memukau pengunjung, malah menyerlahkan tahap kesiapsiagaan anggota TLDM dalam mempertahan kedaulatan maritim negara.

 Turut mencuri tumpuan ialah penglibatan agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa syarikat swasta termasuk CelcomDigi, Affin Bank dan pengeluar kenderaan seperti Proton, BYD dan JAECOO.

 Baharudin berkata, sambutan HTA bukan sekadar pameran aset tetapi satu pendekatan strategik untuk mendekatkan TLDM dengan masyarakat awam.

 “Sambutan ini memberi peluang kepada rakyat untuk lebih memahami peranan TLDM dalam memelihara keselamatan perairan negara. Ini adalah usaha mendidik dan menanamkan semangat cintakan tanah air,” katanya.

 Beliau juga tidak melepaskan peluang menyertai pemeriksaan kesihatan dan gigi yang disediakan sempena acara tersebut, menandakan pendekatan mesra rakyat yang dibawa pihak penganjur.

 Antara aktiviti yang menceriakan suasana termasuk lawatan ke kapal perang seperti KD Terengganu, KD Gagah Samudera dan KD Sri Sabah serta helikopter Fennec milik TLDM. Aset dari Tentera Darat dan Udara seperti ANAN, GEMPITA dan EC 725 turut dipamerkan secara statik.

 Tidak ketinggalan, pertandingan dikir barat, mewarna kanak-kanak, e-sukan FIFA, cabaran penalti, karaoke terbuka dan senamrobik turut menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negeri.

Program Jualan Rahmah MADANI yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga menambah kemeriahan dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

 Sambutan HTA turut menjadi manifestasi kepada tema ulang tahun TLDM iaitu  TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara,’sekali gus menonjolkan komitmen pasukan laut negara dalam mendepani cabaran pertahanan maritim masa depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya