GAZA: Seorang pegawai kanan Kumpulan Hamas, menegaskan cadangan awal yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) berhubung rundingan gencatan senjata adalah jelas sengaja untuk ditolak dan bukannya bagi mencapai persetujuan yang menamatkan perang.
Dalam satu kenyataan kepada Quds Press, Bassem Naim berkata, cadangan itu menetapkan semua tahanan perlu dibebaskan pada hari pertama, manakala pengunduran tentera Israel pula dikaitkan dengan pembentukan kerajaan yang boleh diterima Tel Aviv serta diberi tanggungjawab keselamatan.
Katanya lagi, cadangan tersebut turut merangkumi takrifan terhadap Hamas, pengampunan untuk anggotanya dan pelucutan senjata kumpulan penentangan, tanpa sebarang jaminan mengenai usaha pembinaan semula Gaza.
Tambah Naim, Hamas bersama kumpulan penentangan lain hanya mahukan persetujuan menghentikan perang dan pembunuhan beramai-ramai, selain membuka ruang kepada penyelesaian politik yang memenuhi matlamat nasional rakyat Palestin.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memaklumkan Israel telah menerima terma cadangan beliau bagi pertukaran tahanan dan gencatan senjata di Gaza, dan kini tiba giliran Hamas untuk memberikan persetujuan.
Trump turut menyatakan kemungkinan mencapai perjanjian dalam masa terdekat bagi menamatkan perang di Gaza berdasarkan salah satu cadangan tersebut, sambil mengeluarkan amaran terakhir kepada Hamas berhubung akibat jika tawaran itu ditolak. -AGENSI










