SABAK BERNAM – Inovasi tempatan dalam sektor pertanian negara terus mencipta sejarah apabila Briar Resources Sdn. Bhd., dengan kerjasama Behn Meyer Agricare (M) Sdn. Bhd. dari Jerman, memperkenalkan teknologi baharu, B.A.S.E (Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence).
Pengerusi Briar Resources, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra berkata, B.A.S.E bukan sekadar produk pertanian, tetapi teknologi tempatan yang mampu melonjakkan hasil pertanian negara dengan ketara.
“Teknologi berasaskan data ini dibangunkan khusus untuk meningkatkan hasil tanaman padi tempatan melalui pendekatan agronomi moden yang lebih mampan.
“Melalui aplikasi mudah seperti penggunaan dron, blower dan kaedah manual, B.A.S.E disesuaikan mengikut data sebenar ladang bagi memaksimumkan keberkesanan.
“Teknologi ini telah dikaji selama 12 tahun oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebelum diberikan lesen penggunaan komersial,” katanya.
Kongsinya, projek rintis teknologi tersebut menunjukkan hasil yang memberangsangkan, antaranya peningkatan hasil padi sebanyak 1.28 metrik tan per hektar dari 4.8 kepada 6.08 metrik tan per hektar, bersamaan 26.67 peratus.
Kejayaan tersebut direkodkan di beberapa kawasan termasuk Sungai Leman (Sekinchan), Pendang (Kedah), Pekan (Pahang) dan Terachi (Negeri Sembilan).
“Teknologi ini turut dilengkapi sistem e-TRACE bagi mengesahkan ketulenan produk, menjejak lokasi penggunaan dan menyokong pelaksanaan subsidi berasaskan data sebenar. Produk ini juga telah diiktiraf melalui anugerah Gold Medal dan Best Green Invention Award di ITEX 2024.
“Pelaksanaan BASE turut menyokong sasaran kerajaan untuk meningkatkan tahap Self-Sufficiency Ratio (SSR) beras kepada 75 peratus menjelang 2025, berbanding 65 peratus pada tahun 2023. Ini penting bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap beras import dan menjamin keselamatan makanan negara.
“Sebagai pelengkap kepada projek ini, Briar Resources turut menerbitkan sebuah buku bertajuk Our BASE Sg Leman yang menghimpunkan pengalaman dan pengetahuan hasil projek rintis ini. Buku berkonsepkan Menyemai Harapan, Menuai Perubahan itu bertujuan menyebar luas manfaat teknologi ini kepada seluruh rakyat,”ujarnya.
Dalam pada itu, Briar Resources turut menyatakan komitmen untuk terus memperkasa kolaborasi awam-swasta dan memindahkan teknologi antarabangsa menjadi inovasi tempatan, selaras peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.-UTUSAN