Teknologi pengimbas di pintu sempadan jauh ketinggalan

Teknologi pengimbas di pintu sempadan jauh ketinggalan

ANGGOTA keselamatan sentiasa melakukan kawalan dan pemantauan khususnya di sekitar kawasan sempadan Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penggunaan teknologi lama yang jauh ketinggalan di pintu sempadan negara, menyukarkan usaha mengekang aktiviti penyeludupan.

Justeru, kerajaan perlu menggunakan teknologi mo­den seperti kecerdasan buatan (AI) selain memperkukuhkan alat pengimbas di Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) bagi membantu mengekang aktiviti penyeludupan tersebut.

Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, di China dan Amerika Syarikat (AS) antaranya sudah ada teknologi moden mengekang penyeludupan senjata api.

“Bagi mengekang aktiviti penyeludupan khususnya senjata api yang dilihat semakin berleluasa, penguatkuasaan di sempadan Thailand terutama di Kedah, Perlis serta Kelantan perlu dipertingkatkan melalui teknologi lebih moden seperti digunakan di AS dan China,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, pengukuhan kawalan sempadan akan diperluaskan ke Kedah dan Perlis bagi membanteras isu penyeludupan senjata api, dadah dan barang seludup.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia adalah inisiatif tambahan untuk mengekang kemasukan dan penyeludupan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, Kelantan.

Kata Razarudin, langkah pengukuhan kawalan di sempadan diambil susulan beberapa kejadian tembakan dan kes berkaitan senjata api termasuk insiden tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam, Selangor serta kejadian tembakan di sebuah rumah di Simpang Renggam, Johor.

Tambah Mohd. Mizan, ali­ran senjata api yang aktif di negara-negara pernah bergolak khususnya di Asia Tenggara membuka laluan kepada penyeludupan senjata tersebut ke negara ini terutama melalui pintu sempadan Thailand.

Katanya, apabila senjata api khususnya dari negara-negara pernah bergolak seperti Myanmar, Vietnam, Laos, Kemboja berjaya lolos ke Thailand, sekali gus memudahkan ia diseludup pula ke negara ini.

Selain itu, katanya, tumpuan juga perlu diberikan di kawasan laut khususnya nelayan-nelayan yang menyembunyikan senjata di sebalik tong-tong ikan sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Ujar beliau, insiden tembakan yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa kebanyakkan kawasan sempadan dilihat begitu mudah dibolosi.

“Selalunya aktiviti seludup senjata ini berlaku di negeri-negeri yang bersempadan de­ngan Thailand. Jarang kita dengar di sempadan Singapura atau sebagainya. Hal demikian kerana kebanyakan senjata ini adalah dari negara-negara yang pernah bergolak seperti Myanmar, Vietnam dan sebagainya.

“Kita selalu fokus senjata api banyak di Thailand, tapi sebenarnya di negara-negara di atas Thailand seperti Myanmar, Vietnam sebenarnya lebih banyak. Apabila aliran senjata itu berjaya lolos ke Thailand ia sekali gus akan memudahkan diseludup pula ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN