PETALING JAYA: Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas bagi Dewan Rakyat yang dijadual bermula 23 Jun sehingga 31 Julai ditangguhkan ke suatu tarikh baharu iaitu 21 Julai sehingga 28 Ogos.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dimaklumkan oleh Ketua Majlis bahawa perubahan tarikh sidang Dewan Rakyat adalah selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Perubahan takwim ini adalah bagi membolehkan kerajaan memuktamadkan unjuran pertumbuhan ekonomi dengan mengambil kira tarif timbal balas Amerika Syarikat sebagai input kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13.
“Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan komitmen bagi semua Ahli Yang Berhormat, bukan sahaja dari segi urusan Parlimen di peringkat dalam negeri, malah melalui penglibatan langsung dalam pelbagai persidangan serantau termasuk Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, tahun ini juga menyaksikan peningkatan jumlah hari persidangan Dewan Rakyat kepada 78 hari berbanding 69 hari pada tahun lalu sekali gus membuktikan kesungguhan Parlimen Malaysia untuk memperkukuh proses demokrasi berparlimen.
“Parlimen Malaysia kekal bersifat bebas daripada sebarang kecenderungan politik dan sentiasa menjunjung kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan utama.
“Perubahan tarikh ini mencerminkan usaha menjayakan kepemimpinan Malaysia di peringkat ASEAN serta memastikan kelancaran persidangan yang akan datang, termasuk penyediaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Parlimen Malaysia kekal komited untuk mendukung prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keterlibatan rakyat dalam setiap aspek tadbir urus,” katanya. – UTUSAN