KUALA LUMPUR: Semua polisi menambahkan beban kepada industri seperti cukai atau kenaikan tarif elektrik 14.2 peratus dan pelaksanaan e-Invois pada Julai depan perlu dibekukan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu bagi menangani tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia dan kemelesetan ekonomi pada masa akan datang khususnya bagi industri kecil dan sederhana (IKS).
Beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbang semula cadangan sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus oleh majikan bagi pekerja asing.
“Selain itu, kerajaan juga perlu menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara kepada dua peratus daripada tiga peratus.
“Ia memandangkan kadar inflasi kian terkawal, sasaran utama harusnya ditumpukan kepada pertumbuhan ekonomi yang boleh dijalankan dengan menurunkan OPR. Kita harap tindakan agresif lagi oleh Bank Negara untuk membangunkan ekonomi,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai tarif timbal balik AS semalam.
Katanya, kerajaan juga perlu memperkenal pakej rangsangan ekonomi untuk membantu sektor terjejas dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
“Selain geran-geran kerajaan seperti yang diumumkan, sektor perbankan harus diwajibkan memberikan pinjaman mudah atau memberikan kelonggaran kepada pinjaman yang sedia ada.
Katanya, kerajaan perlu memberi peluang perniagaan dan membuka akses kepada industri tempatan dengan mewajibkan pelabur membeli sekurang-kurangnya 50 peratus barangan tempatan.-UTUSAN










