KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menangguhkan penyasaran subsidi minyak petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini susulan isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang perubahan dasar negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan, yang akhirnya membebankan pengguna.
Selain daripada menangguhkan rasionalisasi RON95, kata beliau, kerajaan juga perlu menangguhkan kenaikan tarif elektrik.
“Tentang kenaikan harga RON95 pada Jun supaya kerajaan ambil kira dan kalau boleh kita tangguhkan, begitu juga kenaikan tarif elektrik pada Julai dan langkah perluasan skop SST kena ambil kira juga.
“Saya juga mohon kerajaan tangguh pembelian 30 pesawat Boeing ketika ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu ini. Kerajaan perlu prihatin dan ambil serius kesan pelaksanaan tarif ini,” katanya semasa Sidang Khas Parlimen mengenai tarif timbal balik AS, hari ini.
Hamzah berkata, kerajaan diminta mewujudkan sebuah jawatankuasa yang melibatkan wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu tarif timbal balik AS.
Jelasnya, perkara itu terbukti berkesan menerusi kejayaan jawatankuasa khas pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Dulu masa kita bincang isu CPTPP, kita bukan hanya bawa perkara itu di Parlimen tetapi kita tubuh jawatankuasa dianggota Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya apa yang kita nak nilai itu ‘transparent’ (telus).
“Dalam itu nanti sudah pasti kita akan beri pandangan, cadangan kami kerana apabila ianya dibawa ke jawatankuasa kita sama-sama boleh bincangkan,” katanya.
Katanya, kerajaan juga perlu melibatkan kerajaan negeri di dalam jawatankuasa tersebut termasuk negeri di bawah pentadbiran pembangkang.
“Kerajaan perlu lebih terbuka untuk menubuhkan jawatankuasa kerana ini melibatkan masalah ekonomi negara, maka ia membabitkan semua kerajaan negeri. Jika dulu kita boleh lakukan saya mohon sekarang pun ia dilakukan.” katanya. – UTUSAN