KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menangguhkan penyasaran subsidi minyak petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini susulan isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang perubahan dasar negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan, yang akhirnya membebankan pengguna.
Katanya, malah kerajaan juga perlu menangguhkan kenaikan tarif elektrik.
“Tentang kenaikan harga RON95 pada Jun supaya kerajaan ambil kira dan kalau boleh kita tangguhkan, begitu juga kenaikan tarif elektrik pada Julai dan langkah perluasan skop SST kena ambil kira juga.
“Saya juga mohon kerajaan tangguh pembelian 30 pesawat Boeing ketika ekonomi negara dalam keadaan tidak menentu ini. Kerajaan perlu prihatin dan ambil serius kesan pelaksanaan tarif ini,” katanya dalam Sidang Khas Parlimen mengenai tarif timbal balik AS, semalam.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, kerajaan diminta mewujudkan sebuah jawatankuasa yang melibatkan wakil rakyat blok kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan isu tarif timbal balik AS di samping melibatkan kerajaan negeri termasuk di bawah pentadbiran pembangkang.
Katanya, perkara itu terbukti berkesan menerusi kejayaan jawatankuasa khas pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Dalam itu nanti sudah pasti kita akan beri pandangan, cadangan kami kerana apabila ia dibawa ke jawatankuasa kita sama-sama boleh bincangkan.
“Kerajaan perlu lebih terbuka untuk menubuhkan jawatankuasa kerana ini melibatkan masalah ekonomi negara, maka ia membabitkan semua kerajaan negeri. Jika dulu kita boleh lakukan saya mohon sekarang pun ia dilakukan.” katanya.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, kerajaan diingatkan untuk mengekalkan polisi berkecuali seperti amalan sebelum ini supaya Malaysia tidak menjadi mangsa keadaan konflik antara kuasa besar.
Kata beliau, pertembungan tersebut menyebabkan Malaysia terpaksa mencari jalan penyelesaian supaya tidak dikenakan tempias.
“Kami di sebelah sini (blok pembangkang) ingin menasihatkan kerajaan supaya polisi kita yang yang sentiasa neutral itu harus kita pertahankan. Jangan sesekali nampak seolah kita berpihak kepada satu negara semata-mata,” katanya.-UTUSAN










