Takiyuddin naif saran Peguam Negara campur tangan - Peguam

Takiyuddin naif saran Peguam Negara campur tangan – Peguam

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar tidak boleh mencampuri prosiding sivil antara dua individu di mahkamah walaupun melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, saranan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya Mohd. Dusuki mencampur tangan dalam prosiding sivil melibatkan Anwar dan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther adalah naif dan tidak tepat.

Kata beliau, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu sepatutnya tahu bahawa Peguam Negara tidak boleh diarah untuk mencampur tangan oleh pihak eksekutif dalam perkara yang tidak semestinya urusan beliau.

“Tindakan peribadi, sivil bukan urusan Peguam Negara walaupun soalan-soalan yang ditampilkan adalah berkaitan dengan isu imuniti dalam sifat seseorang individu pada masa ini tetapi itu bukan urusan untuk beliau campur tangan secara terus.

“Dalam mencadangkan perkara itu, seolah-olah menzahirkan kepada rakyat mentaliti yang ada dalam kalangan ramai pemimpin politik sama ada di dalam kerajaan mahupun pembangkang.

“Iaitu kononnya eksekutif atau ahli politik boleh mengarahkan penjawat awam untuk membuat perkara yang tidak semestinya betul,” katanya di hantaran media sosial, hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) menyarankan Mohd. Dusuki campur tangan dalam usaha Perdana Menteri yang memohon kekebalan bersyarat atas kapasitinya sebagai Ketua Kerajaan dalam kes saman yang difailkan terhadapnya.

Takiyuddin berkata, Mohd. Dusuki harus bertindak menjaga kedaulatan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan sumpah jawatannya bagi mengelak duluan kehakiman berbahaya.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata, cadangan Takiyuddin bukan sahaja salah tetapi turut naif kerana tidak dapat menilai peranan yang boleh dimainkan oleh Peguam Negara.

“Iaitu untuk menyokong permohonan yang pada asasnya mempunyai beban yang terlampau tinggi di tangan dan pihak Anwar untuk meyakinkan mahkamah.

“Biarkan mereka berhujah, biar peguam yang mewakili Anwar dan Muhammed Yusoff berhujuh dalam kes sivil peribadi tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak lain yang mungkin mempunyai niat-niat berbeza. Biarkan mahkamah yang mulia membuat keputusan tanpa campur tangan,” jelasnya.

Tambahnya, beliau percaya Takiyuddin yang juga merupakan seorang peguam mengetahui bahawa untuk mencelah dalam prosiding sivil itu perlu ada kepentingan undang-undang dalam guaman tersebut.

“Melainkan mahkamah sendiri yang ingin memanggil sama ada pejabat Peguam Negara mahupun Badan Peguam Malaysia untuk memberi pandangan Perlembagaan dan perundangan berkaitan isu terkait.

“Bukan atas pihak Peguam Negara untuk membuat permohonan tetapi tertakluk kepada mahkamah, jika mahkamah perlu pandangan perlembagaan dan perundangan daripada pihak-pihak yang dianggap neutral,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN