PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli perlu bersikap profesional dengan mengangkat kepentingan negara melebihi kepentingan parti, bukannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi sehingga dilihat terburu-buru.
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, jawatan dalam parti bukan jaminan bagi seseorang untuk memegang mana-mana portfolio dalam kerajaan.
Justeru, beliau menggesa Rafizi bersikap lebih terbuka menerima kekalahan dalam pemilihan parti yang diadakan baru-baru ini.
“Pelantikan menteri itu diputuskan oleh Perdana Menteri dan bukan ditentukan jawatan dalam parti. Bila pula jawatan parti melayakkan seseorang itu jadi menteri? Kalau tidak, kepimpinan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan juga layak menjadi menteri dan ini semestinya mengganggu pentadbiran dalam politik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tian Chua berkata, Rafizi perlu menghormati konsep pengasingan kuasa politik dan pentadbiran negara.
“Tidak boleh politikkan pentadbiran negara. Lebih matang adalah Rafizi berkhidmat sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat rombakan Kabinet satu masa nanti.
“Boleh jadi setiap kali berlaku pemilihan dalam parti, akan ada orang yang mahu tukar atau letak (jawatan).itu bukan cara Kabinet dibentuk,” jelasnya.
Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Otai Reformasi Malaysia (PKORM) meminta pimpinan PKR meneliti permasalahan yang berlaku dalam parti itu khususnya terhadap perkara yang dibangkitkan Rafizi.
.
Pengerusinya, Mustapa Mansor berkata, meskipun keputusan Rafizi untuk meletak jawatan itu adalah haknya, perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh yang mungkin boleh menyebabkan perkara sama berlaku kepada ahli lain dalam parti itu juga.
“Saya sebenarnya tidak faham kenapa Rafizi bertindak begitu, kenapa perlu letak jawatan? Dari awal lagi saya nyatakan tiada masalah jika dia tidak mendapat undi daripada ahli PKR, itu bukan syarat untuk mereka menjadi seorang menteri. Malah, saya turut difahamkan majlis pimpinan akan bermesyuarat untuk meletakkan Rafizi di posisi mana.
“Jika itu keputusannya, kita hormat. Namun kita juga berharap kepada pimpinan PKR untuk teliti masalah sebenar yang berlaku dalam PKR. Kalau Rafizi tidak puas hati, ia dari sudut apa? Kalau salah satu daripadanya adalah mengenai sistem pemilihan yang katanya dimanipulasi, ia patut diselesaikan,” ujarnya. – UTUSAN