NEW DELHI: Sebuah kereta api yang menuju ke New Delhi melanggar sekumpulan gajah di timur laut India awal pagi semalam, menyebabkan tujuh daripadanya mati.
Ketua Polis Daerah, V.V Rakesh Reddy berkata, kejadian itu turut mengakibatkan seekor lagi gajah cedera.
Northeast Frontier Railway dalam satu kenyataan berkata, insiden berlaku di daerah Hojai, negeri Assam, di lokasi yang bukan laluan khas gajah.
Syarikat itu berkata, pemandu lokomotif menekan brek kecemasan setelah melihat sekumpulan gajah, namun haiwan tersebut tetap berlari ke arah kereta api.
Perlanggaran itu berlaku pada pukul 2.17 pagi waktu tempatan dan menyebabkan lokomotif serta lima gerabak kereta api tergelincir, namun tiada penumpang yang cedera, menurut kenyataan itu.
“Kereta api yang dijadualkan melalui laluan tersebut sedang dialihkan ke laluan lain. Kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan,” menurut kenyataan Northeast Frontier Railway.- AGENSI










