MELAKA: Sebuah syaikat kontraktor pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kegagalan memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan yang mengakibatkan keseluruhan struktur bangunan satu setengah tingkat roboh hingga menyebabkan kematian seorang pekerja binaan warga Bangladesh, Oktober tahun lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Y P A Renovation and Construction yang diwakili wakil syarikat itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa telah melanggar kewajipan sebagai kontraktor untuk memastikan keselamatan bangunan serta kerja pembinaan apabila gagal menyediakan pelan reka bentuk penggunaan perancah diluluskan perunding bertauliah dan mengambil pekerja binaan am yang tidak diperakukan.
Selain itu, OKS juga mengguna pakai perancah jenis kerangka A yang dilarang penggunaannya di dalam Standard Pembinaan Industri (CIS) 23:2023 sebagai penyokong sementara hingga mengakibatkan keseluruhan struktur bangunan satu setengah tingkat yang sedang dibina runtuh dan menyebabkan kematian seorang pekerja binaan warga Bangladesh.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.15 petang di tapak pembinaan Cadangan Meroboh dan Membina Semula Sebuah Bilik Pameran dan Pejabat Satu Tingkat Kepada Tiga Tingkat di Lot 87 dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Oktober 2024.
Sabit kesalahan OKS berdepan denda maksimum RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 34B (1) (c) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34D (1) akta yang sama.
Pegawai Pendakwa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Muhammad Hafidz Hassan memohon tarikh sebutan baharu bagi serahan dokumen manakala OKS tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan tarikh 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan seorang buruh warga asing maut manakala dua lagi rakan sekerjanya cedera dalam kejadian runtuhan sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Jalan Bukit Senjuang, Banda Hilir di sini. – UTUSAN