Suspek ragut warga emas diberkas kurang 24 jam

Suspek ragut warga emas diberkas kurang 24 jam

TANGKAP layar satu rakaman video yang tular menunjukkan seorang warga cuba memukul seorang lelaki yang menyamun rantai emasnya di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.-GAMBAR/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes ragut membabitkan seorang wanita warga emas berjaya diberkas dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan polis mengenai kejadian itu dibuat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika mangsa yang berusia 71 tahun sedang menunggang motosikal di Jalan Tembaga, Taman Greenview, Jelutong di sini.

Katanya, suspek yang juga menaiki motosikal kemudian telah menghampiri mangsa sebelum cuba menarik rantai emas yang dipakai wanita terbabit.

“Dalam kejadian ini, rantas emas mangsa telah terputus dan sebahagian daripada rantai emas itu disyaki telah dilarikan oleh suspek yang berusia 29 tahun.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada hari sama iaitu kira-kira pukul 4.30 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, kejadian ragut berkenaan tular di media sosial apabila satu rakaman video menunjukkan mangsa terjatuh selepas berlanggar dengan suspek.

Wanita terbabit juga dilihat cuba memukul suspek yang menyamun rantai emasnya, namun, suspek berjaya meloloskan diri.

Mengulas lanjut, Abdul Rozak berkata, hasil siasatan dan risikan, suspek bagaimanapun berjaya diberkas kira-kira pukul 4 pagi tadi berhampiran Jalan Lim Khoon Huat.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja) dan Benzo. Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya yang memberitahu, polis turut merampas motosikal serta pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN