Studio digital SK TUDM Subang latih pelajar kandungan digital

Studio digital SK TUDM Subang latih pelajar hasil kandungan digital

ADLY Zahari (tengah) dan Timbalan Eksekutif, Perbankan Komuniti, Kumpulan Affin Bank Berhad, Mohamad Fairuz Mohd Radi (kanan) ketika Sesi Rakaman Layar Hijau pada Majlis Pelancaran Affin Digital Space iaitu sebahagian daripada Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) di Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang baru-baru ini. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kementerian Pertahanan terus komited memperkukuh sistem pendidikan anak-anak anggota tentera dengan memperkenalkan inisiatif digitalisasi sekolah dalam kem, selaras usaha kerajaan membentuk generasi celik teknologi.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memodenkan infrastruktur pendidikan dalam kem tentera, di samping memberi ruang kepada pelajar menguasai kemahiran digital dan kreatif sejak di bangku sekolah.

Katanya, program tersebut direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama Affin Bank melalui penubuhan Green Lab dan Affin Digital Space di tiga buah sekolah dalam kawasan kem tentera tahun ini.

“Pendidikan digital bukan semata-mata tentang teknologi, tetapi bagaimana ia boleh mengasah kreativiti, membentuk nilai serta memberikan peluang kepada pelajar untuk memanfaatkan potensi diri.

“Penting untuk kita memupuk kefasihan digital dalam kalangan murid, bukan sekadar dengan mengajar mereka menggunakan teknologi, tetapi menanam nilai kreativiti, tanggungjawab dan keupayaan menilai kandungan digital secara kritis,” katanya.

 

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem, di sini, baru-baru ini.

Adly berkata, studio digital yang disediakan di Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM Subang itu dilengkapi teknologi layar hijau (green screen) bagi memudahkan pelajar dan guru menghasilkan kandungan digital secara kreatif.

Selain itu, sekolah turut menerima peralatan audio visual seperti kamera, mikrofon dan sistem pencahayaan, disertai perisian penyuntingan video bagi membolehkan pelajar dan guru merakam serta mengedit bahan pembelajaran atau kandungan digital mereka sendiri.

“Bagi memastikan keberkesanan penggunaan kemudahan tersebut, guru dan pelajar turut diberikan latihan khas dalam pengendalian peralatan, teknik penyuntingan serta strategi menghasilkan kandungan digital yang kreatif dan beretika.

“Langkah ini diyakini dapat menggalakkan penglibatan aktif murid dalam pembelajaran serta memupuk daya cipta yang tinggi seawal usia persekolahan,” katanya.

Selain mengasah bakat, Adly berkata, ruang digital yang disediakan turut berpotensi dimanfaatkan sebagai studio rakaman atau platform promosi, sekali gus membuka peluang untuk menjana pendapatan sampingan kepada pihak sekolah mahu pun murid sendiri.

“Saya percaya dunia digital boleh menjadi sumber ekonomi masa depan. Kita boleh latih murid-murid ini bukan sahaja menjadi pengguna, tetapi juga pencipta kandungan yang mampu menjana pendapatan sampingan,” ujarnya.

 

Difahamkan, SK TUDM Subang merupakan lokasi kedua pelaksanaan inisiatif itu selepas SK Kementah di Kuala Lumpur, dan inisiatif sama bakal diteruskan di SK Sultan Sir Ibrahim, Kluang, Johor.

Projek tersebut melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM94,000 yang ditaja sepenuhnya oleh Affin Bank. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN