PETALING JAYA: Sistem pembiayaan kesihatan negara perlu disusun semula secara menyeluruh agar lebih mampan, terangkum dan berkesan untuk jangka masa panjang selaras dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan itu menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) ke-8 yang diadakan hari ini.
“Mesyuarat menekankan aspek tadbir urus, perolehan dan pelaksanaan yang efektif serta peranan kementerian-kementerian utama, khususnya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan dalam merangka pelaksanaan selanjutnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu turut disertai enam menteri Kabinet serta pegawai tertinggi perkhidmatan awam.
Selain itu, mesyuarat itu juga memberi tumpuan kepada Hala Tuju dan Inisiatif Transformasi Sistem Pembiayaan Kesihatan secara berfasa termasuk cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional.
“Malah, mesyuarat ini juga meneliti pembentangan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 oleh Kementerian Ekonomi yang merangkumi langkah-langkah awal menghadapi cabaran masyarakat menua.
“Saya mengambil maklum usaha awal yang sedang digerakkan, termasuk mekanisme tadbir urus rentas kementerian yang lebih menyeluruh dan bersepadu,” katanya.
MySPC merupakan platform utama dalam merancang dasar dan inisiatif perlindungan sosial negara, merangkumi aspek kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara holistik.-UTUSAN