WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tidak akan melanjutkan tarikh akhir 1 Ogos bagi pelaksanaan tarif AS yang lebih tinggi terhadap puluhan ekonomi dunia, sehari selepas beliau memberi isyarat kemungkinan kelonggaran terhadap tarikh tersebut.
Trump sebelum ini telah mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus terhadap barangan dari hampir semua rakan dagang pada April lalu.
Kadar lebih tinggi yang disesuaikan mengikut negara telah diumumkan tetapi ditangguhkan sehingga 9 Julai.
Namun, Trump minggu ini sekali lagi menunda pelaksanaan semula tarif tersebut dengan kali ini ke tarikh baharu iaitu 1 Ogos.
“Tiada perubahan,” katanya dalam satu hantaran di Truth Social.
Beliau berkata, kutipan tarif akan bermula pada 1 Ogos selaras dengan surat-surat yang kini dihantar kepada rakan dagang.
“Tiada lanjutan akan diberikan,” kata Trump.
Pada malam Isnin, Trump memaklumkan kepada wartawan dalam satu majlis makan malam tarikh akhir 1 Ogos adalah muktamad, tetapi tidak 100 peratus muktamad.
Sebagai sebahagian daripada usaha menjalin lebih banyak perjanjian perdagangan, Trump telah menghantar surat kepada lebih sedozen negara pada Isnin, termasuk sekutu utama AS seperti Jepun dan Korea Selatan.
Dalam surat yang hampir serupa kepada pemimpin Tokyo dan Seoul, Trump menyatakan produk dari kedua-dua negara itu akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus.
Indonesia, Bangladesh, Thailand, Afrika Selatan dan Malaysia turut termasuk dalam senarai negara yang bakal berdepan tarif antara 25 hingga 40 peratus.-AGENSI










