STPM bukan laluan kelas kedua tetapi setanding Cambridge - Fadhlina

STPM bukan laluan kelas kedua tetapi setanding Cambridge – Fadhlina

FADHLINA Sidek (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Dermasiswa Pelajar STPM anjuran Farm Fresh Berhad peringkat kebangsaan di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak sepatutnya terus dianggap sebagai laluan kelas kedua bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, hal ini demikian kerana, STPM adalah setanding dengan program antarabangsa seperti Cambridge dan mendapat pengiktirafan lebih daripada 2,000 universiti di seluruh dunia.

Justeru katanya, penjenamaan semula tingkatan enam merupakan usaha strategik yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) seiring dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dalam memperkasa laluan pasca menengah yang inklusif dan berdaya saing.

“Inilah iltizam kita untuk memastikan bahawa setiap anak Malaysia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, berimpak tinggi, dan mampu membawa mereka ke pentas global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Dermasiswa Pelajar STPM anjuran Farm Fresh Berhad peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, bagi memastikan kelangsungan dan kesaksamaan akses terhadap pendidikan, kerajaan turut memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar tingkatan enam mulai tahun ini.

Katanya, ketika ini, lebih 100,000 orang pelajar tingkatan enam telah menerima manfaat ini dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 juta.

“Kita juga menyambut baik inisiatif Program Dermasiswa Pelajar STPM Farm Fresh Berhad iaitu satu bentuk tanggungjawab sosial korporat yang benar-benar menyantuni keperluan semasa pelajar tingkatan enam kita.

“Program ini menyasarkan pelajar tingkatan enam daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40 menerusi pemberian tunai sebanyak RM100 sebulan bermula dari Mei hingga Disember ini,” katanya yang memberitahu, seramai 500 pelajar dari 10 negeri di Semenanjung telah dikenal pasti sebagai penerima awal di bawah program berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN