KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan kes simbah asid ke atas pemain bola sepak, Faisal Halim yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) bukan bermaksud siasatan telah ditutup.
Sebaliknya, status berkenaan berkait penahanan tiga suspek sebelum ini, selain beberapa petunjuk lain termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan fotofit yang diedarkan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, klasifikasi sedemikian adalah prosedur operasi standard (SOP) dalam mana-mana siasatan.
“Sekiranya tangkapan tidak mempunyai kaitan atau membantu siasatan, timbalan pendakwa raya (TPR) akan mengklasifikasikan kes sebagai NFA sehingga wujud perkembangan atau maklumat baharu.
“Justeru dalam kes ini, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan berkenaan akan dirujuk semula sekiranya perlu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Mohd. Shuhaily, ketiga-tiga suspek sebelum ini dibebaskan kerana pelaku sebenar menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Jelasnya, hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga mereka juga mendapati tiada bukti atau perbualan yang menunjukkan mereka terlibat.
“Malah rakaman CCTV dan fotofit yang diedarkan juga tidak dapat merungkai pelaku sebenar,” katanya.
Ujarnya, sebarang perkembangan kes akan dimaklumkan kepada peguam Faisal dari masa ke semasa.
“Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini,” katanya. – UTUSAN










