SPRM siasat tatakelola HRD Corp susulan dapatan LKAN 2024

SPRM siasat tatakelola HRD Corp susulan dapatan LKAN 2024

PASUKAN SPRM bersama Kesuma dan HRD CORP ketika Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Kompleks Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) telah menjalankan penyiasatan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) berhubung pengurusan levi dan pelaburan, susulan dapatan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024.

Penyiasatan tersebut juga merupakan kesinambungan kepada rundingan nasihat yang pernah dilaksanakan SPRM berkaitan isu pengurusan dalam HRD Corp yang tular dan dibangkitkan pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, penyiasatan tatakelola itu bertujuan menilai serta mencadangkan penambahbaikan dalam tadbir urus HRD Corp agar kelemahan sedia ada dapat diperbaiki dan risiko berlakunya jenayah rasuah dapat dikurangkan.

“Penyiasatan itu adalah proses runding nasihat kepada ketua badan awam atau swasta mengikut Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dengan memberi cadangan penambahbaikan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja.

“Objektif utamanya bukan sahaja mencadangkan penambahbaikan tetapi juga membantu badan berkenaan mengenal pasti kelemahan dari sudut tadbir urus,” katanya dalam satu sesi pembentangan di Kompleks Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya berharap agar Kesuma dan HRD Corp memberikan komitmen penuh dalam melaksanakan setiap syor penambahbaikan yang dikemukakan.

“Saya amat berharap Kesuma dan HRD Corp benar-benar serius dalam melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan tadbir urus yang lebih cekap, telus dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kesuma, Sutekno Ahmad Belon berkata, pihak kementerian menyambut baik hasil penyiasatan SPRM dan akan memastikan pelaksanaannya diselaras secara menyeluruh.

“Kementerian memandang serius setiap dapatan yang dibentangkan. Segala syor yang dikemukakan akan dilaksanakan dan dipantau secara berkala.

“Kesuma akan terus menyokong HRD Corp dalam usaha memperkukuh sistem tadbir urus selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti perkhidmatan awam,” katanya.

Laporan hasil penyiasatan tatakelola itu telah dibentangkan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib dalam sesi yang turut menyaksikan majlis menandatangani laporan antara SPRM, Kesuma dan HRD Corp, hari ini.

Laporan tersebut ditandatangani oleh Azmi, Sutekno serta Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid sebagai simbolik komitmen bersama ke arah pembaharuan tatakelola yang lebih telus dan berkesan.-UTUSAN

PASUKAN SPRM bersama Kesuma dan HRD CORP ketika Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di Kompleks Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN