PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan bahawa beliau tidak akan menghadiri perhimpunan pembangkang yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka petang ini walaupun namanya disenaraikan sebagai salah seorang penceramah utama.
Menurutnya, beliau sudah pun memaklumkan kepada pihak penganjur lebih awal bahawa tidak dapat hadir kerana tidak berada di lokasi pada waktu perhimpunan.
“Saya menghormati hak rakyat untuk berhimpun tidak kira apa isu atau haluan ideologi.
“Kebebasan berhimpun ini adalah hasil perjuangan reformasi yang dicapai melalui pengorbanan besar oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ini merupakan kemajuan penting dalam perlaksaan sistem demokrasi.
“Harap semua pihak politik dapat membela hak bersuara, berhimpun dan beroganisasi. Kita harus bersama-sama mempertahankan segala hak-hak asasi dimaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, agar kesejahteraan rakyat dijamin,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.
Terdahulu, beliau dilaporkan sebagai antara 18 individu yang dijadual berucap dalam perhimpunan itu, bersama beberapa tokoh politik pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tian Chua yang merupakan penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak era Reformasi 1998, pernah memainkan peranan penting dalam menggerakkan protes rakyat menentang kerajaan ketika itu serta turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beliau dipecat daripada PKR pada 2023 selepas bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Batu, sekali gus menentang calon PKR sendiri, P. Prabakaran.
Tindakan beliau bertanding sebagai calon Bebas dikatakan melanggar disiplin parti dan keputusan pemecatan dibuat oleh biro politik PKR sebagai langkah tegas untuk mengekalkan prinsip kepartian. – UTUSAN









