KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden membidas tindakan pihak berkuasa yang didakwanya menghalang persiapan Himpunan Turun Anwar sejak awal pagi tadi.
Menurut beliau, seawal pukul 3 pagi, petugas sudah berada di Dataran Merdeka untuk memasang peralatan dan sistem pentas, namun berdepan pelbagai sekatan dan arahan berbeza daripada pihak berkuasa.
“Saya sendiri turun berunding sekitar pukul 3.30 pagi di tempat kita berdiri ini. Ketika itu kami diberi kebenaran untuk membawa masuk semua peralatan. Tapi jam 10 pagi, kami diminta pula untuk keluarkan semua peralatan itu.
“Kami berpegang pada janji. Semalam janji lain, hari ini janji lain. Tapi kami tetap bertahan. Petugas-petugas kami bertahan. Satu demi satu peralatan pentas terpaksa dibawa balik,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan peserta himpunan,” katanya.
Afnan berkata, meskipun pentas dibongkar dan sekatan dibuat, namun pendirian mereka untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berubah.
“Kamu boleh ubah pentas, kamu boleh buat sekatan. Tapi kamu tak boleh ubah pendirian kami untuk turunkan Anwar Ibrahim. Kami beri amaran, jangan cuba halang kemarahan rakyat yang mahu heret kamu turun,” katanya tegas.
Beliau berkata, himpunan jalanan bukan perkara asing bagi Anwar, malah suatu ketika dahulu Perdana Menteri sendiri yang mengajar rakyat untuk berkumpul dan menukar kerajaan melalui demonstrasi.
“Satu masa dahulu, kita pernah berhimpun. Kita pernah disembur gas pemedih mata, dihambat oleh polis. Siapa yang ajar waktu itu? Siapa yang ajar untuk turunkan kerajaan melalui himpunan?
“Wahai ‘cikgu’ yang kini berada di Putrajaya, ketahuilah yang hadir hari ini adalah anak murid kamu. Dulu kamu kata boleh berhimpun.
“Hari ini kamu hantar orang kamu buat 60 laporan polis. Bila kami buat, tak boleh. Bila kamu buat, boleh. Anwar koyak,” katanya. – UTUSAN









