PETALING JAYA: Aset dan akaun bank dengan nilai keseluruhan RM85.6 juta telah dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan membabitkan seorang individu bergelar Tan Sri, berkaitan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Jumlah itu membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta diikuti akaun syarikat (RM33 juta) dan kenderaan mewah (RM7.65 juta).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, barangan lain yang disita adalah beg tangan bernilai RM3 juta, jam tangan (RM7 juta) dan hartanah (RM24.5 juta).
“Kita mengesyaki dana sukuk berjumlah ratusan juta ringgit disalurkan kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri itu telah disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak digunakan bagi tujuan pembiayaan projek lebuh raya berkaitan.
“Wang itu kemudiannya diagihkan kepada syarikat dan individu tertentu, termasuk ke akaun Tan Sri yang bertindak sebagai penggerak utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, SPRM menyita pelbagai aset termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta milik individu terbabit.
Bulan lalu, empat individu termasuk seorang Datuk Seri ditahan kerana disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM360 juta.
Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai RM1.30 bilion antara 2016 hingga 2017.
Tambah Azam, dana itu seterusnya dipindahkan ke beberapa entiti lain termasuk syarikat proksi dan akaun isterinya.
“Wang terbabit digunakan bagi pembelian pelbagai aset seperti hartanah, kenderaan mewah, barang kemas dan beg tangan termasuk aktiviti perjudian.
“Ia juga disalurkan untuk perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan, melalui pelbagai transaksi kewangan berlapis yang bertujuan mengaburi sumber asal dana,” katanya.
Menurut Azam, buat masa ini SPRM masih belum merakam keterangan suspek kerana keadaan kesihatannya yang berada di wad hospital.
“Bagaimanapun siasatan masih berjalan dengan penyitaan aset itu, kita akan meneliti perolehan harta berkenaan termasuk mendapatkan dokumen kewangan daripada bank termasuk beliau sendiri bagi tujuan analisis dalam membantu siasatan.
“Semua yang terbabit dalam membantu siasatan akan dipanggil untuk rakaman kenyataan,” ujarnya.
Katanya, beberapa ahli keluarga suspek juga akan dipanggil bagi membantu siasatan, jika perlu.
“Setakat ini seramai 45 orang sudah dipanggil dan dirakam percakapan dan akan ada lagi yang akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan antara 30 ke 50 saksi lagi. – UTUSAN