Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini menunjukkan seramai 84,025 calon gagal dalam subjek Matematik, iaitu antara mata pelajaran teras dalam peperiksaan utama itu.
Jumlah yang direkodkan itu merangkumi 22.4 peratus daripada 375,115 calon menduduki mata pelajaran berkenaan, sekali gus mencatatkan keputusan gagal tertinggi dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil oleh calon-calon SPM.
Memandangkan Matematik adalah mata pelajaran teras yang cukup penting untuk masa depan anak-anak, maka diharap perlu ada langkah intervensi segera daripada kerajaan dan ibu bapa bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang kepada bakal calon SPM 2025 dan seterusnya.
Harus diingat, Matematik dipelajari daripada sekolah rendah maka tidak wajar anak-anak gagal dalam mata pelajaran ini. Justeru langkah intervensi jangka panjang perlu dimulakan dari peringkat sekolah rendah lagi supaya kita dapat mengenal pasti punca utama.
Secara prinsipnya kita perlu menerapkan minat anak-anak terhadap Matematik sejak di sekolah rendah dengan kemahiran asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi.
Sebagai ibu bapa sudah tentu kita tidak mahu anak rasa takut dengan angka atau Matematik, sebaliknya suka untuk bermain-main dengan angka yang lazimnya akan digunakan dalam kehidupan seharian dalam pelbagai urusan.
Maka besarlah harapan kita agar para guru sekolah rendah boleh memikirkan kaedah pengajaran yang lebih kreatif dan menyeronokkan dalam mengajar mata pelajaran ini.
Ironinya pada peringkat sekolah rendah apa yang diharapkan adalah proses pemahaman kepada kemahiran asas Matematik yang mudah dan ringkas sekaligus melahirkan rasa minat anak-anak terhadap mata pelajaran yang sering dianggap sukar ini.
Pemahaman dan kemahiran yang lebih tinggi sewajarnya berlaku pada peringkat sekolah menengah dan seterusnya. Jika penguasaan kemahiran asas berada pada tahap yang baik dan kukuh maka anak-anak ini tidak akan berhadapan dengan masalah besar untuk sekurang-kurangnya lulus Matematik di SPM.
Dalam konteks ini, peranan ibu bapa juga sangat penting iaitu perlu mendidik anak-anak untuk suka dan meminati Matematik.
Ini boleh dilakukan oleh ibu bapa secara santai ketika berada dengan anak baik di rumah atau ketika melaksanakan sebarang urusniaga perolehan di luar.
Biasakan anak dengan angka supaya mereka tidak takut dan sedar angka itu penting dalam kehidupan seharian mereka. -UTUSAN
Noor Mohamad Shakil Hameed
Yang Dipertua Pibg Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang Selangor Menengah Kebangsaan Seri Serdang.Selangor. –