SOP REE sudah ada, diedar kepada kerajaan negeri sejak 2023

SOP REE sudah ada, diedar kepada kerajaan negeri sejak 2023 – Nik Nazmi

NIK NAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan, prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE) sudah disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia sekali gus menafikan tuduhan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan SOP REE dilengahkan seoalah-olah berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan dengan niat menghalang kemajuan negeri-negeri di bawah gagasan empat negeri Perikatan Nasional (SG4).

Malah, katanya, isu ini juga telah dijelaskan secara terbuka melalui kenyataan media bertarikh 29 Oktober 2024.

“SOP ini merangkumi panduan lengkap dari sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia pengeksportan.

“SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada dan disusun untuk membolehkan kerajaan negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, kata Nik Nazmi, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, kementerian turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan kawasan rizab perlindungan.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan, tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan.

“Berkaitan kenyataan kononnya SOP bagi eksplorasi REE masih belum disediakan, perlu ditegaskan bahawa aktiviti eksplorasi adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Sebagai contoh, di Kedah, ia telah termaktub dalam Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah.

“Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dibangkitkan seakan-akan tiada garis panduan yang wujud,” katanya.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pembangunan negeri adalah satu tohmahan yang tidak tepat.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan pembangunan sektor mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari, bukan sahaja demi kemajuan ekonomi, tetapi juga demi kesejahteraan generasi akan datang tanpa mengira mana-mana negeri.

“Amat penting untuk semua pihak, termasuk pemimpin negeri berpegang kepada fakta dan tidak menjadikan dasar sumber asli sebagai alat polemik politik.

“Rakyat lebih memerlukan kerjasama erat di antara kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mencapai kemajuan yang sebenar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN