‘Solat bersama bunian, rakaman lama yang sudah dipadamkan’ 

‘Solat bersama bunian, rakaman lama yang sudah dipadamkan’ 

SYEIKH MUHD. ZAINUL ASRI MOHD. ROMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli tampil menjelaskan secara terbuka kontroversi terbaharu yang melibatkan penularan videonya berkaitan solat Jumaat seorang ulama bersama bunian, baru-baru ini. 

Dalam rakaman video berdurasi 3.36 minit itu, pendakwah berkenaan menegaskan bahawa video yang ditularkan tersebut merupakan rakaman lama yang sudah dipadamkan daripada rekod simpanan medianya, sebelum ini.

Menurut beliau, pihaknya bertindak memadam semua video yang dikhuatiri mencetuskan kontroversi itu selepas perjumpaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) pada 13 Oktober tahun lepas. 

“Sejak tarikh itu, tiada sebarang video kontroversi baharu dimuat naik ke mana-mana saluran media sosial kami. Video yang sedang ditularkan pada masa ini adalah rakaman lama yang direkodkan sebelum sesi perjumpaan dengan pihak JHEAIK diadakan.

“Saya telah menarik balik semua video terdahulu dan ingin menegaskan bahawa tiada lagi kandungan bersifat kontroversi akan dimuat naik ke platform media sosial kami,” katanya dalam rakaman video berkenaan yang dimuat naik ke media sosial miliknya.

Beliau pada masa yang sama menasihatkan semua pihak agar tidak terus menyebarkan atau menularkan video-video lama tersebut kerana ia tidak mencerminkan pendirian dan tindakan semasanya. 

“Sebagai penjelasan, saya ingin maklumkan bahawa saya telah dipanggil oleh pihak JHEAIK untuk menerima nasihat dan teguran. Sesungguhnya saya amat menghargai teguran tersebut,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga bersikap terbuka dengan sebarang tindakan yang akan diambil susulan kontroversi terbaharu itu kelak. 

“Segala ketetapan dan keputusan daripada pihak berautoriti akan saya terima dengan hati yang terbuka dan penuh rasa tanggungjawab,” jelasnya. 

Akhbar ini kelmarin menyiarkan bahawa JHEAIK mengambil keterangan pendakwah berkenaan susulan daripada penularan video berkenaan kenyataan kontroversi tersebut dipercayai dirakam dua tahun lepas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN