CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menyiasat mana-mana pihak yang mengkritiknya selagi ia tidak membabitkan unsur jenayah.
Perdana Menteri berkata, PDRM tidak perlu mengambil sebarang tindakan terhadap kritikan dan tuduhan liar yang dilontarkan kepada beliau apatah lagi ia bermotifkan politik semata-mata.
“Beberapa tindakan terhadap beberapa pengkritik kerajaan termasuk serangan terhadap saya yang saya telah beri arahan tidak perlu disiasat
“Saya tidak pertikai apa tujuan matlamat orang-orang yang menyerang (kerana) kadang-kadang tidak berasas tetapi saya telah mengarahkan (tiada tindakan) selain daripada kes jenayah yang jelas atau tuduhan yang agak keterlaluan seperti ‘barua Israel’ atau ada penyakit HIV yang sudah tidak ada tatasusila,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,500 jemaah di Masjid Cyberjaya 10 di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar menempelak tindakan segelintir pihak yang menyokong tindakan mengkritik yang melontarkan kata-kata keterlaluan dan tidak berasas.
“Saya pun aneh juga merasakan betapa kadang-kadang orang-orang dalam parti melayu dan Islam mendukung hal-hal sedemikian
“Bagaimanapun, saya telah mengarahkan supaya kritikan terhadap Anwar atau sebagai Perdana Menteri tidak harus diambil tindakan.
“Apalagi kalau, kata-kata berbau politik, atau meminta supaya Perdana Menteri undur, atau letak jawatan, atau boleh disingkir,” katanya.
Katanya, kenyataan dan kritikan seperti itu tidak harus dilayan namun, pada masa sama beliau mengingatkan agar perkara itu tidak berulang lagi pada masa depan. – UTUSAN










