SEREMBAN: Sokongan terbuka daripada peringkat cabang dan pemimpin PKR terhadap Nurul Izzah Anwar untuk dicalonkan sebagai timbalan presiden membuktikan parti itu meraikan demokrasi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, menjadi hak masing-masing untuk menyatakan sokongan kepada siapa sahaja dalam pemilihan peringkat parti
“Kita raikan demokrasi, siapa mahu cadang dan siapa mahu sokong terpulang, mereka ada kelayakan dan mereka rasa berkelayakan untuk disokong, jadi tiada masalah.
“Tuan badan pun (Nurul Izzah) belum cakap apa lagi kan, setuju atau tidak setuju, cuma ada sokongan daripada Selangor, Johor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan belum lagi,” katanya yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Pencalonan Pemilihan PKR peringkat Pusat akan berlangsung bermula esok dan Jumaat.
Aminuddin namun masih mengambil pendirian ‘kunci mulut’ samada sedia mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 24 Mei ini.
Katanya, beliau akan mengumumkan secara rasmi kedudukannya selepas mengisi borang pencalonan tersebut.
“Saya kena cari waktu sesuai, untuk mengisi dan menghantar borang pencalonan esok sebelum saya umumkan secara rasmi,” katanya.
Aminuddin merupakan penyandang bagi jawatan Naib Presiden PKR. Beliau sebelum ini telah memaklumkan akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti kali ini. – UTUSAN