Kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat mengekalkan status sebagai sekolah Felda terbaik nombor satu negara kali ketujuh berturut-turut dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 membuktikan keberkesanan program Sekolah Angkat Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam mencorak kecemerlangan pendidikan luar bandar.
Dengan mencatat kelulusan 100 peratus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.00, sekolah itu turut melakar pencapaian membanggakan apabila 25 pelajarnya memperoleh semua A, termasuk seorang pelajar terbaik SPM
Pahang,Azlin Maisarah Azhan dengan 9A+, dan 35 pelajar mendapat 8A 1B sekali gus dinobatkan sebagai sekolah nombor satu di Daerah Maran.
Pengerusi YPM, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, kejayaan itu lahir hasil sinergi pelbagai pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa serta komitmen YPM yang menyalurkan pelbagai inisiatif sejak tahun lalu.
“Pada 2023, YPM dengan tajaan RHB Bank memperuntukkan RM67,500 kepada SMK Jengka Pusat sebagai tuan rumah program Tuisyen Pintar, Teknik Menjawab SPM dan Selangkah ke Universiti.
“Hasilnya, 17 pelajar memperoleh semua A dalam SPM 2023.
“Tahun ini, dengan tambahan peruntukan RM35,000, jumlah pelajar straight A melonjak kepada 25 orang,” katanya kepada Utusan Pelajar. – UTUSAN