TAPAH: Pelaksanaan sistem penyuraian trafik fasa satu dilaluan utama pekan Tapah di sini yang menelan belanja RM2.2 juta berjaya menyelesaikan isu kesesakan trafik yang menyukarkan pengguna.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan tinjauannya di lapangan mendapati trafik agak lancar walaupun pada waktu puncak.
“Saya difahamkan sekarang trafik agak lancar dan sebelum turun ke tapak, kami ada bermesyuarat di pejabat JKR Daerah Tapah berbincang untuk kerja-kerja penambahbaikan pada masa akan datang.
“Projek yang baru siap ni adalah menelan belanja RM 2.2 juta ringgit oleh Kementerian Kerja Raya (KKR),” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke tapak pelaksanaan kerja jalan sehala Tapah di sini hari ini.
Fasa 1 melibatkan penambaikan laluan sehala sedia ada bermula 7 hingga 30 April lalu dengan kos RM2.2 juta.
Ia melibatkan menukarkan laluan sementara kepada laluan kekal, turapan semula jalan, pembinaan pembahagi jalan, papan tanda dan garisan baharu, membuka laluan ke masjid melalui Jalan Tapah Road dan penambahbaikan di simpang Sekolah Kebangsaan Satu.
Berhubung langkah jangka masa panjang penyuraian trafik itu, beliau memberitahu, satu lorong akan ditambah yang menelan belanja RM15 juta.
“Kami akan mencari bagaimana dapat RM15 juta tu. tetapi itu perlu juga diangkat di peringkat negeri kepada kami.
“Ia boleh dbawa kepada Kementerian Kewangan ataupun Kementerian Ekonomi sebagai projek untuk diluluskan.,” katanya. – UTUSAN