GEORGE TOWN : Kejadian runtuhan batu di lorong Bukit Kukus, Paya Terubong, Sabtu lalu tidak membawa kemalangan jiwa apabila sistem keselamatan cerun seperti jaring khas dan penghadang batu yang dipasang di kawasan itu berjaya menghalang batu besar daripada menghempap kenderaan dan pengguna jalan raya.
Insiden berlaku di hadapan Pangsapuri Grandview menyaksikan beberapa bongkah batu besar jatuh dari cerun, namun dihalang oleh jaring dan penghadang yang siap dipasang pada penghujung tahun lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, pemasangan sistem keselamatan bernilai RM6.8 juta itu yang disiapkan sepenuhnya terbukti berkesan dalam mencegah tragedi.
“Buktinya, dua kenderaan yang di tempat meletak kereta berhampiran cerun terselamat kerana dihalang sistem tersebut,” katanya ketika ditemui.
Katanya, pasukan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah turun padang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca runtuhan.
“Buat masa ini, kerja-kerja mitigasi sedang diperincikan oleh pihak jabatan teknikal. Saya menasihati orang awam agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang laluan buat sementara waktu,” katanya.-UTUSAN










