JOHOR BAHRU: Tindakan licik seorang peniaga menyimpan dan mengedar minuman keras tidak bercukai tumpas apabila polis merampas pelbagai jenis arak bernilai lebih RM300,000 di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mount Austin, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi kira-kira pukul 10.30 pagi Rabu lalu itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun.
“Dalam serbuan itu, kami merampas 35 kotak dan 185 karton minuman keras pelbagai jenama yang disimpan dalam rumah serta dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dianggarkan bernilai RM316,595.
“Polis turut menyita dua buah kenderaan, iaitu Toyota Estima dan Toyota Vellfire yang dipercayai digunakan untuk mengangkut arak tidak bercukai itu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.
Menurut Raub, pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, salah sebuah MPV itu milik suspek dan sebuah lagi kenderaan sewa, manakala rumah yang digunakan untuk menyimpan bekalan arak seludup itu merupakan rumah sewa.
“Siasatan awal mendapati suspek telah menjalankan kegiatan itu secara bersendirian sejak setahun lalu dengan mendapatkan bekalan arak dari kawasan bebas cukai di Forest City, Iskandar Puteri sebelum dijual kepada kedai runcit dan kenalan sekitar Johor Bahru.
“Ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau. Suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula Khamis lalu hingga 21 Mei bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kebenaran serta Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu. – UTUSAN