KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama tidak menyinari industri seni tanah air, penyanyi lagenda, Datuk Andre Goh bakal memeriahkan konsert Simfoni Budaya 2.0 anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), pada 5 Julai ini.
Berbesar hati untuk membuat persembahan di pentas gah Dewan Filharmonik Petronas, Andre menyifatkan penganjuran konsert itu sebagai usaha berterusan MPO dalam memperkasakan martabat lagu Melayu asli yang sudah menjadi identiti tanah air.
“Terima kasih MPO ini kali ketiga saya menyanyi di dewan filharmonik. Kali terakhir saya membuat persembahan pada 2013.
“Ini satu usaha yang sangat baik kerana sebelum ini saya ada tekankan di televisyen dan radio supaya tidak meninggalkan lagu Melayu asli kerana ini adalah khazanah dan identiti negara kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, penyanyi yang terkenal pada era 70-an tersebut juga sempat meluahkan kebimbangannya sekiranya lagu Melayu asli pada akhirnya terkubur menjadi arkib kerana kekurangan pelapis baharu.
“Kita tidak mahu lagu-lagu tradisional ini terkubur suatu hari nanti dan tidak dikenali generasi akan datang. Saya tidak mahu pada akhirnya, lagu Melayu asli seperti ghazal, keroncong dan sebagainya hanya boleh didengar di muzium sahaja.
“Lagu zaman dahulu tidak sama seperti sekarang. Jika dulu, irama dan permulaan lagu sahaja sudah jadikan sebagai kenangan. Tetapi, sekarang sukar untuk kita ketengahkan pelapis yang berbakat untuk menyanyikan lagu irama asli ini,” jelasnya.
Namun, penyanyi lagu Dikirim Jangan Dipesan Jangan itu lega apabila terdapat generasi baharu yang bakal memeriahkan juga malam konsert itu nanti.
Selain Andre, Simfoni Budaya 2.0 juga bakal dimeriahkan oleh barisan penyanyi hebat seperti Zehra Zamri, Danial Chuer, Hazra Dollah dan Rojer Kajol.
Konsert Simfoni Budaya 2.0 ini juga bakal dipimpin oleh pemuzik, Ahmad Muriz Che Rose selain menyaksikan rangkuman tradisi dan muzik yang harmoni dalam satu keraian budaya yang gemilang.
Konsert tersebut juga akan mengetengahkan irama joget, asli dan zapin bergabung dengan keunggulan muzik MPO melalui karya malar segar seperti Mas Merah, Fatwa Pujangga, Nirmala, Tudung Periuk, Simfoni Bunga Tanjung, Joget Burung Merpati, Makan Sireh, Joget Wan Lebor dan Mak Inang Kayangan.