PETALING JAYA: Pelakon, Shazwan Zulkifly menegur sikap segelintir pelakon generasi muda kini yang dianggap terlalu manja kerana menggunakan alasan mempunyai masalah kesihatan mental.
Menerusi sebuah video podcast yang dimuatnaik di TikToK, Shazwan berkata masalah kesihatan tersebut tidak pernah muncul ketika zamannya membesar, walaupun menghadapi cabaran hidup.
“Dulu-dulu mak ikat dekat pokok, letakkan kerengga sebab kau balik lambat ke apa.
“Tapi ada yang kena bipolar atau anxiety? Mana ada dua-dua penyakit itu. Sebab itu kita jadi kuat,” katanya.
Pelakon 7 Hari Mencintaiku itu juga menyifatkan anak muda hari ini sebagai terlalu manja kerana mudah mengalami gangguan mental sehingga menjadikan alasan dalam urusan kehidupan.
“Pelakon muda zaman sekarang ini, dia lebih lembik daripada budak zaman kita. Manjalah senang cerita. Sikit-sikit cakap ada anxiety. Anxiety bukan satu jenis, ada banyak.
“Kadang-kadang orang yang sebenarnya tiada anxiety pun mula terasa macam ada anxiety sampai kau tak percaya orang yang betul-betul ada anxiety,” katanya.
Video itu kemudian menerima pelbagai reaksi daripada pengguna.
“Anxiety itu memang benar. Masalahnya budak-budak sekarang jenis diagnos sendiri sampai datang stigma buruk pada penyakit itu,” kata warganet di platform itu.
“Dulu-dulu tiada pun penyakit anxiety ini, aku setuju. Sebabnya budak-budak zaman sekarang terlalu lembik, sikit-sikit anxiety, mental tak kuat. Ini mungkin sebab terlalu dimanjakan,” kata netizen lain.
“Zaman dulu tiada kesedaran tentang benda mental health ini, media sosial pun cikai. Tapi sekarang dah zaman teknologi,” kata pengguna media sosial itu. – UTUSAN