KUALA LUMPUR: Malaysia masih menunggu maklum balas rasmi daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung cadangan untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Khas ASEAN–AS yang dicadangkan berlangsung dalam tahun ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar surat kepada kepemimpinan AS bagi menyatakan hasrat ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak berkenaan tahun ini.
“Kita masih belum menerima jawapan rasmi daripada pihak AS, namun kita berharap akan menerima maklum balas positif tidak lama lagi supaya sidang kemuncak ini dapat direalisasikan tahun ini juga,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata, cadangan persidangan tersebut telah dipersetujui pada peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi memastikan ASEAN tidak dilihat condong ke mana-mana negara.
Katanya, Malaysia juga bersedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran sidang kemuncak khas tersebut, namun ia bergantung kepada keputusan pihak AS.
Terdahulu, Mohamad mempengerusikan beberapa mesyuarat penting termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 dan Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-36.
Ia sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China yang dijadual berlangsung pada esok hingga 27 Mei ini. – UTUSAN