KUALA LUMPUR: Kes serangan siber berasaskan ransomware di negara ini melonjak sebanyak 78 peratus pada suku keempat 2024 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Lonjakan drastik itu berdasarkan data rasmi daripada CyberSecurity Malaysia yang turut merekodkan peningkatan dalam insiden kebocoran data dan penipuan siber dengan modus operandi semakin kompleks dan sukar dikesan.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata, ancaman siber masa kini bukan sahaja semakin canggih, malah merentasi sempadan geografi dan undang-undang sekali gus memberi isyarat jelas bahawa ancaman terhadap infrastruktur digital dan ekonomi negara berada pada tahap membimbangkan.
“Penjenayah siber hari ini menggunakan pelbagai taktik baharu termasuk perisian hasad (malware), mata wang kripto serta komunikasi terenkripsi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Cyber Games 2025 di Courtyard Marriot, di sini hari ini.
Ransomware adalah sejenis malware aktif yang bertindak untuk mengancam seterusnya memusnahkan dail dan dokumen mangsa. Malware adalah program dalam perisian komputer yang digunakan untuk tindakan jahat.
Fabian berkata, lonjakan kes ransomware itu adalah amaran awal kepada semua pihak supaya memperkukuh keupayaan pertahanan siber negara khususnya menerusi kerjasama rentas sempadan, pelaburan teknologi serta latihan taktikal secara berterusan.
“Cyber Games bukan sekadar pertandingan, tetapi platform strategik untuk mengasah kemahiran penyiasat siber dalam menghadapi serangan dunia sebenar terutama melibatkan ransomware dan penyalahgunaan aset maya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, kes serangan siber ransomware di Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 78 peratus pada suku keempat 2024 dan dijangka terus meningkat pada tahun ini.
Beliau berkata, ekonomi digital negara yang menyumbang 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut menjadikan Malaysia semakin terdedah kepada eksploitasi jenayah siber.
“Ransomware adalah satu bentuk jenayah yang semakin menguntungkan dari sudut penjenayah, jadi kita tidak boleh tangani secara bersendirian. Perlu ada kerjasama antara negara ASEAN dan juga antarabangsa.
“Tema keselamatan siber negara bagi tahun ini turut memberi tumpuan khusus untuk menangani ancaman ransomware yang turut merangkumi aspek teknologi, taktik serta penyelesaian lebih berkesan dan praktikal,” ujarnya. – UTUSAN