JEMPOL: Hanya berbekalkan minat dan semangat untuk mencuba seni gubahan belon, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) kini mampu berdikari dan meraih pendapatan sendiri.
Itu yang dilakukan Nurul Hayani Juhar, 37, penghidap masalah gangguan hiperaktif dan kurang daya tumpuan (ADHD) yang memberanikan diri menceburi bidang itu pada 2019 untuk menjana pendapatan.
Katanya, ia bermula apabila melihat rakannya yang mahir dalam seni belon dan nekad mempelajarinya sendiri hanya melalui tontonan di platform YouTube.
“Lebih 10 jam saya habiskan untuk belajar sendiri. Saya tengok berulang-ulang sampai faham, dari situ saya terus praktikkan dan mula buat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah pusat beli-belah di sini.
Menurut Nurul Hayani, usahanya dianggap berbaloi kerana dia mampu memperoleh purata sekitar RM3,000 sebulan.
“Saya hanya mengenakan caj RM1 untuk setiap seni belon yang dihasilkan. Saya bukan kejar untung sangat.
“Saya buat sebab minat dan mahu hiburkan orang dan anggap ia sebagai sedekah juga. Saya suka buat benda yang boleh gembirakan orang, terutamanya kanak-kanak” katanya.
Tambahnya, apa yang dilakukannya kini bukan sekadar kerjaya tetapi secara tidak langsung membuktikan bahawa OKU tidak hanya mengharapkan bantuan.
“Saya mahu buktikan walaupun kami OKU ada kekurangan ia bukanlah batu penghalang untuk golongan seperti kami berjaya. Saya ada menerima jemputan seperti dari sekolah, tadika dan orang perseorangan untuk sambutan hari lahir bertujuan untuk menghiburkan kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN