KAMPAR: Lelaki warga emas yang maut dilanggar lori ketika perjalanan pulang dari masjid selepas solat Jumaat semalam, sempat menunaikan hajat bersedekah pisang yang pertama kali berbuah.
Rohaiza Mazlan 33, berkata, arwah bapanya itu membawa pisang berangan tersebut ke masjid untuk diagihkan kepada jemaah walaupun buah itu belum masak sepenuhnya.
“Pokok pisang yang abah tanam itu baru kali pertama mengeluarkan hasil, jadi dia memang sudah pasang niat untuk bawa ke masjid dan sedekah kepada orang.
“Bila kawan-kawannya tanya kenapa pisang itu belum masak, dia jawab ‘kalau tunggu masak, nanti mereka tidak merasa’. Tidak sangka itu rupa-rupanya petanda dia akan pergi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gua Sanding, Jeram di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.58 petang di Kilometer 26.5, Jalan Ipoh–Kuala Lumpur di sini, mangsa, Mazlan Ahmad, 68, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut dilanggar lori ketika melintas jalan dari arah Masjid Jamek Jeram di sini semalam.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah maut di lokasi kejadian.
Menurut Rohaiza, bapanya tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum kejadian namun dia dikatakan seperti tergesa-gesa untuk pulang ke rumah selepas menunaikan solat jumaat.
Malah katanya, rakan-rakan bapanya itu juga ada memberitahu bahawa arwah kelihatan ceria dan menyapa setiap daripada mereka selain turut mempelawa minum bersama.
“Biasanya abah akan menjadi antara orang yang terakhir pulang kerana dia bantu mengemas apa yang patut. Cuma semalam, dia pergi ke masjid awal, sekitar pukul 12 tengah hari dah sampai.
“Kawan-kawan sekampung beritahu dia juga kelihatan ceria seolah-olah seronok sangat. Bila ditanya nak ke mana, dia beritahu mahu balik awal,” ujarnya.
Tambah anak tunggal kepada pasangan Mazlan dan Rokiah Taharin, 73, itu, dia tidak menyangka permintaan arwah bapanya untuk dimasakkan laksa menjadi permintaan terakhir lelaki itu.
“Abah bukan penggemar laksa tapi dia minta mak untuk masakkan malam kelmarin (Khamis). Sebelum ke masjid, mak ada minta abah makan tapi dia beritahu mahu makan selepas solat Jumaat.
“Rupa-rupanya permintaan abah itu untuk kami yang memang gemarkan laksa. Hidangan itu untuk dijamu kepada adik-beradik dan anak-anak saudaranya yang kini berada di rumah,” katanya. – UTUSAN