Sembilan syarikat sahkan penyertaan DSA, NATSEC Asia 2026

Sembilan syarikat sahkan penyertaan DSA, NATSEC Asia 2026

MOHAMED Khaled Nordin menyaksikan Majlis Penyerahan Kontrak di Antara DSA dan NATSEC ASIAN 2026 ketika hadir ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 di sini hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak sembilan syarikat secara rasmi mengesahkan penyertaan mereka di dalam Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2026.

Sembilan syarikat berkenaan adalah Ada Vinci Global Sdn. Bhd., Advance Defence Systems Sdn. Bhd., Cendana Auto Sdn. Bhd., IDC Technologies Sdn. Bhd., Mega Arms Sdn. Bhd., Nizra Group, Rohde & Schwarz, Weststar Defence Industries Sdn. Bhd., dan VR Universal Sdn. Bhd.,

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat berkenaan akan menyertai acara pertahanan dan keselamatan terkemuka yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 April 2026.

Kata beliau, komitmen awal sembilan syarikat itu mencerminkan keyakinan industri yang semakin meningkat dan minat berterusan mereka terhadap penganjuran akan datang.

“Selama lebih tiga dekad, DSA telah menjadi acara penting dalam kalendar pertahanan global, manakala NATSEC Asia yang kini memasuki edisi keempat, terus mengukuhkan jangkauan dan kepentingannya dalam bidang keselamatan negara.

“Kedua-dua acara ini menjadi platform utama di mana kerajaan, pemimpin industri dan profesional pertahanan berkumpul untuk menangani cabaran keselamatan semasa,” katanya.

Turut hadir menyaksikan majlis pertukaran kontrak itu adalah adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.

Mohamed Khaled berkata, beliau menerima baik komitmen awal yang ditunjukkan oleh sembilan syarikat tersebut.

“Penyertaan mereka bukan sahaja menunjukkan kepercayaan terhadap Malaysia sebagai hab serantau dalam bidang pertahanan dan keselamatan, tetapi juga mencerminkan momentum positif menuju edisi yang paling berimpak setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd., Nadzeem Abdul Rahman berkata, pencapaian itu menjadi asas kepada penganjuran DSA dan NATSEC Asia yang paling berambisi setakat ini.

“Kontrak yang ditandatangani mencerminkan kedudukan DSA dan NATSEC Asia di peringkat antarabangsa, serta kepercayaan pemain utama industri terhadap platform kami dalam menyediakan peluang libat urus, pendedahan dan hasil perniagaan yang bermakna.

“Tahap komitmen yang diterima setakat ini sangat memberangsangkan,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menawarkan platform yang diperlukan oleh kerajaan dan pemain-pemain industri.

“Dalam mendepani ancaman yang semakin kompleks dan perubahan teknologi yang pesat dengan kemunculan AI serta pengkomputeran berkuasa tinggi, kerajaan dan pemimpin industri kini mencari platform yang bukan sekadar pendedahan, mereka mahukan kesesuaian, kredibiliti dan impak. Itulah yang kami tawarkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN