Semakin ramai ibu bapa hantar anak ke sekolah agama Melaka

Semakin ramai ibu bapa hantar anak ke sekolah agama Melaka

PELAJAR terbaik UPKK negeri, Muhammad Akmal Ariff dari SRA JAIM Tanjung Minyak menerima anugerah kecemerlangan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah-sekolah Agama JAIM di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Permintaan terhadap pendidikan agama di negeri ini terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 50,024 murid direkodkan mendaftar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) setakat April tahun ini, berbanding 48,976 orang pada 2024.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah berkata, trend itu membuktikan keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan agama kelolaan JAIM yang semakin kukuh.

“Peningkatan ini satu petanda positif bahawa masyarakat semakin sedar pentingnya ilmu agama dalam mendepani cabaran masa kini.

“Kerajaan negeri amat menyokong usaha ini dan akan terus memastikan pendidikan agama berkualiti dapat dinikmati semua anak-anak Islam di Melaka,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah-sekolah Agama JAIM di Banda Hilir di sini, hari ini.

Majlis turut meraikan 167 pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Syahadah Ibtidaiah Arabiah (SIA) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tiga buah sekolah diumumkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik selepas dinobatkan sekolah terbaik dalam peperiksaan utama peringkat rendah dan menengah.

Antaranya, SRA JAIM Jelatang, Alor Gajah diumum sekolah terbaik UPKK, SRA JAIM Al-Faizin terbaik dalam SIA manakala Sekolah Menengah Tahfiz al-Quran (SMTAQ) al-Abqari pula menyerlah dalam SPM apabila dua pelajarnya dinobat pelajar terbaik negeri.

Pelajar terbaik UPKK negeri ialah Muhammad Akmal Ariff (SRA JAIM Tanjung Minyak) dan Nur Syafwatul Badleey (SRA JAIM Kampung Tun Razak) manakala pelajar terbaik SIA disandang Muhammad Ameerul Sufi (SRA JAIM Al-Faizin) dan Ilham Amani (SRA JAIM Merlimau Pasir). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN