Selangor henti tajaan ijazah pertama Asia Barat

Selangor henti tajaan ijazah pertama Asia Barat

Sebaliknya, tajaan tersebut akan mengutamakan kemasukan ke Universiti Islam Selangor (UIS) dan institusi tempatan lain yang permohonannya bakal dikeluarkan melalui iklan pada Jun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghentikan tajaan pengajian tinggi ke universiti di Asia Barat bagi pengajian peringkat ijazah pertama bermula tahun ini.

Sebaliknya, tajaan tersebut akan mengutamakan kemasukan ke Universiti Islam Selangor (UIS) dan institusi tempatan lain yang permohonannya bakal dikeluarkan melalui iklan pada Jun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat bagi memperkukuhkan ekosistem pendidikan agama JAIS yang wujud di peringkat rendah dan menengah.

Menurutnya, UIS dipilih selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terbukti mampu melahirkan graduan berkualiti tinggi dari segi ilmu dan akhlak serta dapat memenuhi pasaran pekerjaan.

“Ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko para pelajar daripada terdedah kepada pengaruh dan anasir yang mengganggu pemikiran serta jati diri pelajar jurusan pengajian Islam Selangor di Asia Barat,” katanya, semalam.

Tambahnya, bagaimanapun JAIS akan menaja mahasiswa persendirian yang tidak mendapat tempat di universiti tempatan atau memilih pengajian Islam di Asia Barat untuk melanjutkan pelajaran.

“Adalah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan diurus sepenuhnya oleh JAIS.

“Ini bagi memastikan para mahasiswa benar-benar bersedia dari sudut fizikal, mental, mempunyai jati diri yang tinggi, menguasai bahasa Arab, memiliki pengetahuan dan keupayaan penting lainnya dalam menghadapi cara pembelajaran, suasana serta cabaran di Asia Barat,” jelas­nya.

Katanya lagi, tawaran tajaan daripada kerajaan negeri dan LZS masih terbuka bagi pengajian peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) di Mesir, Jordan dan Maghribi yang juga akan diiklankan pada Jun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN