SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah Petaling hari ini menetapkan 4 Jun 2025 sebagai tarikh sebutan kedua kes perceraian penyanyi, Datuk Nora Ariffin dan suaminya, Dr Rushdi Ramli.
Menurut peguam yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali, pasangan tersebut perlu menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) kerana Rushdi menolak permohonan cerai Nora pada prosiding yang berlangsung hari ini .
Dr. Rushdie tidak bersetuju untuk bercerai pada hari ini . Jadi, sebutan kali kedua kes perceraian ini akan berlaku pada 4 Jun untuk perlantikan jawatankuasa pendamai.
“Bagaimanapun, pihak defendan tidak menyatakan alasan mengapa dia menolak perceraian.
“Jadi, kita akan ikut proses Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan sekiranya gagal, kita akan teruskan dengan proses hakam,” katanya usai prosiding perceraian hari ini selesai.
Terdahulu, Nora mengakui dirinya reda dengan sebarang keputusan yang telah ditetapkan oleh suaminya, Dr. Rushdi dan mahkamah bagi sebutan pertama kes perceraian yang berlangsung pagi ini.
Sebelum ini, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk memfailkan permohonan perceraian terhadap Dr. Rushdi selepas gagal menemukan jalan damai terhadap kemelut rumah tangganya, pada 21 April lalu.
Terdahulu, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya pada tahun 2021.
Sebelum itu, penyanyi itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat cahaya mata. Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.- UTUSAN