BANGI: Suami penyanyi Zehra Zambri, Nur Mohd. Iqwan Samsudin mendedahkan sebenarnya dia hari ini bersedia melafazkan cerai terhadap isterinya.
Katanya, dia bagaimanapun terpaksa mengangguhkan perkara tersebut selagi Zehra tidak mengugurkan empat daripada lima tuntutan cerai yang difailkan selain penyanyi itu tidak berada dalam keadaan suci.
“Saya terpaksa tangguh (lafaz cerai) disebabkan keadaan Zehra dalam keadaan tidak suci selain dia enggan gugurkan empat tuntutan perceraian yang difailkannya.
“Antara tuntutan yang saya tolak adalah mengenai dakwaan melakukan kekerasan. Hanya satu yang saya setuju kekalkan iaitu tiada kesefahaman dalam perkahwinan.
“Selagi dia tidak gugurkan empat dakwaan itu, saya akan terus berjuang untuk membersihkan nama saya. Ini bukan hal kecil kerana ini melibatkan reputasi dan maruah,” katanya selepas prosiding pelantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi, pagi tadi.
Sesi JKP bagi kes perceraian penyanyi itu ditangguhkan kepada 14 Mei ini ekoran ketidakhadiran wakil JKP Iqwan ke sesi hari ini.
Menurutnya Iqwan, ketidakhadiran wakil JKP pihaknya bukan untuk melambatkan proses mahkamah, memandangkan Zehra sudah melantik bapanya selaku wakil pihak perempuan.
“Saya sudah maklumkan kepada hakim bahawa wakil JKP pihak saya tidak dapat hadir atas urusan kecemasan.
“Jadi pada 14 Mei nanti saya akan minta rakan baik saya hadir untuk menjadi wakil JKP bagi pihak saya,” kongsinya.
Mahkamah 10 April lalu telah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil bagi proses (JKP).
Untuk rekod, pasangan suami isteri itu mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia dua tahun setengah.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga sebelum itu pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata. – UTUSAN