Saya pernah skeptikal terhadap filem Melayu – Syukri Yahya - Utusan Malaysia

Saya pernah skeptikal terhadap filem Melayu – Syukri Yahya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, pelakon popular tanah air, Syukri Yahya,juga pernah menyimpan satu sisi skeptikal terhadap filem-filem Melayu walaupun dia sendiri merupakan anak seni tempatan.

Perkara itu diluahkan Syukri dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini ketika dirinya terlibat dalam sesi promosi filem Bloodbrothers yang mendapat perhatian ramai terutama di kalangan peminat filem Melayu.

Berbicara mengenai perkara itu, jelas Syukri, skeptikal yang dimaksudkan terarah kepada mutu dan kualiti filem-filem tempatan yang seakan masih jauh ketinggalan berbanding filem-filem luar negara khususnya di Barat.

Malah, persepsi tersebut lahir daripada pengalaman menonton beberapa naskhah sebelum ini yang tidak memenuhi jangkaannya dari segi jalan cerita, lakonan dan teknikal.

Bagaimanapun, itu pandangan lalu. Kini, persepsinya mula berubah terutama apabila dia sendiri terlibat membintangi Bloodbrothers yang menjadi punca pandangan lapuknya mula terhakis.

Filem arahan sutradara terkemuka tanah air iaitu Syafiq Yusof itu ternyata membuka mata Syukri terhadap potensi sebenar industri perfileman Malaysia.

“Saya akui dulu memang ada sedikit skeptikal terhadap filem-filem Melayu. Kalau keluar sahaja filem, saya anggap tak apalah, lebih baik tunggu sahaja ia keluar di Netflix atau mana-mana platform lain.

“Tapi bila ada filem macam Bloodbrothers ini, ia seakan telah memecahkan pandangan skeptikal saya itu. Saya semakin percaya kepada daya kreativiti anak tempatan.

“Malah saya rasa penonton pun sudah letakkan kepercayaan yang sama sebab merekalah yang akan keluarkan duit untuk menonton dan menyokong filem kita,”katanya.

Kongsi pelakon berusia 36 tahun ini, Bloodbrothers bukan sahaja memperlihatkan peningkatan dari segi teknikal dan naratif.

Tetapi baginya, ia turut membuktikan bahawa pembikin filem tempatan kini lebih berani bereksperimen dengan genre serta gaya penceritaan yang segar.

“Saya harap filem ini jadi penanda aras baharu. Bukan saja untuk pengarah dan penerbit, tapi juga untuk pelakon seperti saya.

“Ia menyuntik inspirasi dan keyakinan bahawa industri kita sebenarnya mampu pergi jauh. Kita ada segalanya, sama ada pelakon yang berbakat, pengarah yang berwawasan dan penonton yang semakin terbuka serta bijak menilai.

“Yang penting sekarang ialah kita terus berani mencuba dan memperbaiki mutu produksi dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Andainya Takdir dan 7 Hari Mencintaiku ini turut berkongsi perubahan besar dalam perspektif dan pendekatannya sebagai pelakon sejak terbabit dalam naskhah berbentuk filem berskala besar seperti Bloodbrothers ini.

Katanya, sepanjang bergelar anak seni, dia telah terbiasa dengan dunia drama yang menjadikan rating di kaca televisyen sebagai ukuran kejayaan.

Namun, filem itu memberi pandangan baharu buatnya dari aspek pencapaian dan impak.

“Saya dulu memang kejar rating, sebab dah terbiasa dengan dunia drama. Kita pun selalu sebut yang rating jadi penanda aras kejayaan.

“Tapi bila masuk dunia filem, terutamanya Bloodbrothers, ini kali pertama saya rasa sendiri bagaimana rasanya ‘mengejar’ angka juta-juta di pawagam. Satu perasaan yang berbeza, lebih mendebarkan, tapi dalam masa yang sama sangat memuaskan.

“Saya juga rasa ia datang dengan tekanan yang berbeza. Bila tahu orang bayar untuk tengok kita di pawagam, rasa tanggungjawab tu jadi lebih besar,”katanya.

Selain itu, Syukri yang memegang watak sebagai Fadlan dalam filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios ini juga mengakui bahawa dunia filem menuntut kesungguhan yang lebih tinggi kerana setiap babak dirakam untuk ditonton di layar besar, bukan sekadar di kaca TV.

“Setiap inci lakonan itu dinilai. Tak boleh main-main. Saya belajar untuk jadi lebih teliti, lebih mendalam dalam menyampaikan watak.

“Dan bila kutipan mencecah juta, rasa penat tu berbaloi,” jelas Syukri yang kini lebih terbuka untuk terus mengembangkan kerjayanya di bidang perfileman.

Dalam pada itu, Syukri turut ditanya mengenai cabarannya membawakan watak antagonis dalam filem ini.

Menerusi naskhah tersebut, dia tidak menolak bahawa watak jahat atau ‘villain’ yang dilakonkan berbeza daripada watak-watak tipikal yang sering dilakonkannya di kaca TV.

Menyedari risiko yang datang bersama peranan tersebut, Syukri mengakui dia pada awalnya bimbang akan reaksi penonton.

“Saya memang risau juga sebenarnya. Watak saya dalam Bloodbrothers bukan watak ‘hero’ yang biasa penonton tengok. Jadi saya tertanya-tanya, ‘Orang akan benci aku ke lepas ni?’.

“Tapi syukur, ramai yang faham dan puji lakonan saya. Itu satu kelegaan besar. Saya pun seronok melakonkan watak ini sebab berbeza daripada apa yang pernah saya bawakan sebelum ini. Alhamdulillah saya dapat respons yang baik daripada semua penonton,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN