GOMBAK: “Insya-Allah kalau ada rezeki kekal Menteri Besar Selangor. Dia (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) nak pergi haji, saya minta dia doakan.”
Seloroh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari ketika diminta mengulas spekulasi bahawa penyertaan Tengku Zafrul bertujuan untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor.
Menurut Amirudin, ura-ura tersebut terlalu sukar untuk dipertimbangkan secara realistik, memandangkan beberapa proses besar perlu dilalui dalam tempoh yang singkat bagi merealisasikannya.
“Bagi saya, terlalu panjang ceritanya. Saya tak rasa ada jalan ke arah itu (Tengku Zafrul jadi Menteri Besar Selangor) sebab nak kena buat pilihan raya kecil pula. Kita cuma berbaki dua tahun setengah penggal ini, tidak banyak yang boleh diatur dalam masa terhad ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen B2 di sini, hari ini.
Tempoh lantikan Tengku Zafrul sebagai ahli Dewan Negara akan tamat hujung tahun ini.
Dengan berakhirnya penggal kedua sebagai senator, ia akan memberi beberapa kesan bukan sahaja kepada Tengku Zafrul tetapi juga kepada sistem politik.
Beliau tidak lagi boleh memegang jawatan Kabinet, maka Perdana Menteri perlu melakukan rombakan bagi mengisi kekosongan.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN