HULU SELANGOR : Pelakon, Hafidz Roshdi, 31, menepis persepsi salah warganet yang menyifatkan dirinya seorang bapa tidak bertanggungjawab terhadap dua anak kandungnya yang kini berada di bawah jagaan bekas isterinya, Nurul Shuhada.
Menurut Hafidz, walaupun sudah berpisah dengan Shuhada, anak-anaknya iaitu Humairah,7, dan Umar,3, tetap darah dagingnya dan tanggungjawab untuk menjaga keperluan mereka akan dilakukannya sehabis baik sebagai seorang bapa.
“Anak-anak itu tetap berbinkan saya sebagai bapa mereka. Anak-anak tetap tanggungjawab saya. Sampai mati pun mereka adalah anak saya.
“Tak kisahlah orang nak cakap saya tak pedulikan anak-anak atau apa yang penting, saya dah buat sehabis baik. Saya yang failkan hadanah, saya yang pergi ke mahkamah dan hadir setiap kali nak perjuangkan hak lawatan untuk jumpa anak-anak.
“Bagi saya orang yang bercakap itu harus berfikirlah. Sebab anak-anak itu tanggungjawab saya,”katanya.
Hafidz berkata demikian semasa ditemui di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pelakon filem Juang ini mengakui kasih sayangnya terhadap anak-anak tidak pernah padam apa lagi mereka merupakan amanah dari Allah kepadanya sebagai bapa.
“Saya tahu diri saya, tak pernah saya mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Daripada mereka kecil sampai sekarang, saya balik dari kerja di set penggambaran atau apa, saya mesti nak luangkan masa dengan mereka.
“Saya cuba lapangkan masa untuk bawa mereka berjalan, pendek kata sejak mereka lahir, saya jalankan tanggungjawab sebagai bapa sehabis baik.
“Jadi kalau orang nak kata saya tak bertanggungjawab, tak apalah. Saya sahaja yang tahu diri saya. Saya tahu kedudukan dan pendirian saya,”katanya.
Terdahulu, pada 30 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memberikan hak lawatan sementara kepada Hafidz sepanjang cuti persekolahan hujung Mei ini, sementara menantikan keputusan induk hadanah yang dijadualkan didengar pada 29 Julai.-UTUSAN