Salah faham terjemahan cetus kekeliruan tarikh Aidiladha

Salah faham terjemahan cetus kekeliruan tarikh Aidiladha

Ahli Jawatankuasa Rukyah Hilal Negeri melakukan cerapan anak bulan Zulhijjah 1446 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan, Nik Abdul Rahman Mustafa menjelaskan kekeliruan yang timbul kononnya tarikh 10 Zulhijjah di Malaysia jatuh pada 6 Jun depan adalah berpunca daripada kesilapan memahami maksud terjemahan.

Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh Pusat Astronomi Antarabangsa (IAC) adalah ‘kebanyakan negara Arab’ akan menyambut Aidiladha pada 6 Jun ini.

“Laporan itu kemudian dipetik oleh akhbar (agensi media dan berita) Arab yang menulis dengan menyebut ‘kebanyakan negara Islam’ yang bermaksud negara-negara teluk atau Arab sahaja kerana majoriti negara-negara umat Islam berada di di sana.

“Namun, apabila akhbar tempatan (Malaysia) cuba memetik berita itu, ia diterjemahkan sebagai ‘di kebanyakan negara Islam’ lalu ada orang yang faham ia (tarikh 1 Zulhijjah) di ‘Malaysia’,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena cerapan 1 Zulhijjah 1446H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan IAC yang menjangkakan kebanyakan negara Islam akan menyambut Aidiladha pada 6 Jun ini.

Katanya, laporan akhbar tempatan itu menimbulkan riuh rendah dalam kalangan rakyat di negara ini sehinggakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi untuk meredakan keadaan.

Nik Abdul Rahman berkata, umumnya IAC adalah pusat antarabangsa yang mengkaji kenampakan anak bulan pada setiap bulan di sepanjang tahun hijri.

Malah, katanya, analisa penampakan anak bulan oleh IAC akan sentiasa dipamerkan dalam website mereka seperti https://astronomycenter.net/icop/hej46.html malah, sering dirujuk oleh ahli-ahli falak dan ia bukan sesuatu yang pelik.

“Akhbar perlu merujuk kepada sumber utama supaya mereka dapat melaporkan berita dengan lengkap selain merujuk kepada pihak authoriti agama untuk pengesahan.

“Sebarang berita yang kurang tepat akan menimbulkan kegusaran di dalam hati umat Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN