Saifuddin tak kena 'game’, beri laluan kepada Nurul Izzah

Saifuddin tak kena ‘game’, beri laluan kepada Nurul Izzah

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya beliau berhasrat memberi laluan kepada Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, Saifuddin bertindak sedemikian selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau tidak kena ‘game’ (dipermainkan), sebaliknya membuat keputusan tidak bertanding Timbalan Presiden bagi memberikan laluan dan menghormati keputusan perbincangan bersama Presiden.

“Datuk Seri Saifuddin akan patuh dengan saranan Presiden, dia juga minta jentera berikan sokongan kepada Nurul Izzah,” katanya ketika ditemui dalam program bersama pengamal media di sini, hari ini.

Mohd. Yahya yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri turut memberitahu, beliau yakin pertembungan antara Nurul Izzah dan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli tidak akan mengakibatkan perpecahan dalam parti.

“Di peringkat parti, saya yakin anggota matang dan boleh bersikap rasional. Tidak akan berlaku perpecahan selepas pemilihan ini, kerana persaingan adalah perkara biasa. Jika ada persaingan sekalipun, biarlah ia berlangsung secara sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN